Memburu ilmu


Adakah anda suka baca buku? Adakah anda mengalami kesukaran atau masalah semasa membaca buku? Adakah melalui pembacaan anda dapat menambahkan ilmu pengetahuan anda secara efektif? Atau anda sekadar membaca, namun selepas itu anda tidak tahu apa yang anda baca. Ataupun anda hanya dapat mengingat hanya sedikit daripada pembacaan itu? Di sini saya nak kongsi sedikit maklumat tentang sikap yang perlu diamalkan ketika membaca yang saya petik daripada sebuah buku berjudul “ada apa dengan buku?” hasil Shaharom TM Sulaiman dan Suriati Shamsudin.

1-SABAR
Kesabaran diperlukan sewaktu membaca kerana apabila tergesa-gesa dalam “memaknai” suatu gagasan, boleh jadi kesimpulannya salah
2-TELITI
Ketelitian memungut makna yang tersebar di sepanjang halaman buku dan kemudian mengumpulkan dan menghimpunkannya amat diperlukan kerana kalau tidak teliti, akan banyak gagasan yang “menguap” dan “bersembunyi” kembali.
3-TEKUN
Ketekunan diperlukan untuk membantu kita menyisir himpunan kata, kalimat, bab, dan bahagian demi bahagian yang menyimpan gagasan pokok dan penting untuk diperhatikan
4-GIGIH
Kegigihan akan mendorong anda agar tidak sekali membaca dan kemudian sesudah itu “mati”, dalam erti kata terpaksa perlu mengulangi pembacaan hingga lebih dari sekali.
5-BERSUNGGUH-SUNGGUH
Kesungguhan dalam menemukan makna, memahami maksud penulis, dan mengajak fikiran anda menyoroti hal menarik dan penting yang disampaikan oleh seseorang penulis akan menghadirkan manfaat yang tidak terduga (fikiran anda akan menemukan sesuatu yang baru dan segar)



Penulis buku ini menyatakan, jika kita amalkan sikap ini semasa membaca, kita mampu tingkatkan taraf atau grade pembacaan sesebuah teks secara kritis. Melalui pembacaan teks lah seseorang akan memiliki kecekapan unggul dalam memilih dan menyaring informasi.
Bagaimana? Rasa dapat tak ubah cara membaca anda? Insyaallah, cuba amalkan sikap ini semasa membaca dan anda akan dapat rasai perubahan.
Itu pasal membaca. Sekarang saya nak cerita pasal menulis pula. Saya masih ingat semasa dalam semester 5 semasa sedang mengambil subjek Performance Appraisal. Pensyarah saya Prof.Halim sedang menyampaikan kuliah namun dilihatnya kami tidak mencatatkan apa-apa yang diperkatakannya.
Lalu dia berkata kepada kelas “saya risau ni kamu tak menulis.
Ilmu itu buruan. Buruan itu perlu diikat”
Kami faham dengan kata-katanya itu. Analogi ini meningkatkan lagi kesedaran bahawa menulis itu penting untuk memastikan ilmu itu kekal. Kalau tak ditulis, ia akan hilang.
Analogi yang disebut oleh Prof.Halim itu saya temui selanjutnya dalam buku “ada apa dengan buku” menerusi kutipan-kutipan yang dimuatkan oleh penulis daripada pelbagai sumber.

Rasul Ja’farian dalam tulisannya Tadwin Al-Hadits: Studi Historis tentang Kompilasi dan Penulisan Hadis (1990) mengisahkan pula secara menarik “orang besar” dunia keagamaan yang menggemari aktiviti tulis-menulis. Kata Ja’farian:



“Sejumlah tradisi besar menunjukkan para Imam (pemimpin keagamaan mazhab Syiah) mempunyai buku dan tulisan yang mereka warisi daripada leluhurnya. Dalam tradisi lain, diceritakan Saidina Ali pernah membuat pernyataan ikatlah ilmu (melalui penulisan), yang diulangi beliau sebanyak dua kali.”
Sesuatu yang kita ikat pastinya akan lebih kekal dengan kita, bukan?
Ada satu kisah lagi tentang menulis ilmu,yang mungkin anda pernah dengar. Mengenai seorang Imam yang menulis ilmu yang diperolehi melalui gurunya dengan menggunakan air liur di atas tapak tangan. Begitu sekali beliau menuntut ilmu.
Ini pula kisah Beethoven, seorang Komposer besar dunia muzik klasik.



“Beethoven ialah satu contoh orang hebat yang belajar dengan menulis. Beethoven banyak membuat catatan dalam buku catatan miliknya. Akan tetapi, Beethoven mengatakan, ketika mencipta “komposisi” muzik, beliau tidak pernah benar-benar melihat catatannya tersebut. Saat ditanyakan soal itu, belian menjawab, “ Apabila saya tidak segera mencatat temuan saya, saya tentu akan melupakannya begitu saja. Apabila saya mencatatkannya, nescaya saya tidak akan pernah melupakannya, dan tidak perlu lagi saya melihatnya.”


Betullah, daripada pengalaman saya sendiri, apa yang ditulis itu akan lebih diingati berbanding tidak menulis. Jadi, tulislah…
Berkaitan kepentingan menulis lagi, disebutkan juga dalam buku ini petikan kata daripada Stephen Covey dalam bukunya yang berjudul The Seven Habits of Highly Effective People.



“Sebahagian besar perkembangan mental dan disiplin pengajian kita berasal daripada pendidikan formal. Akan tetapi, segera sesudah kita meninggalkan disiplin eksternal sekolah, kebanyakan daripada kita membiarkan otak kita terhenti pertumbuhannya. Kita tidak lagi membaca secara serius, kita tidak mengikuti disiplin baru secara mendalam di luar bidang tindakan kita, kita tidak berfikir secara analitis, kita tidak menulis secara kritis atau tidak dengan cara menguji kemampuan kita mengekspresikan diri dalam bahasa yang baik, jelas, dan ringkas. Sebaliknya kita menghabiskan waktu kita untuk menonton televisyen.”


Begitulah… secara ringkas kepantingan membaca dan menulis dalam usaha memperoleh maklumat dan ilmu. Namun walau banyak mana pun sarana yang muncul. Sebenarnya, semua itu terangkum sejak dahulu lagi dalam Kalamullah. Bukankah al-Quran itu syumul? Merangkumi segenap hal kehidupan dulu, kini, dan seterusnya. Perihal membaca ini adalah ayat al-Quran pertama yang diwahyukan kepada Rasulullah sallallahualaihiwasallam. Jangan kita lupa “IQRA’” ( Bacalah)
Kita lihat kembali terjemahan maksud ayat 1 hingga 5 surah al-alaq. Firman Allah s.w.t bermaksud:
1. bacalah (Wahai Muhammad) Dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan (sekalian makhluk),
2. ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku;
3. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, -
4. Yang mengajar manusia melalui Pena dan tulisan, -
5. ia mengajarkan manusia apa Yang tidak diketahuinya.
(al-Alaq:1-5)
Di samping menjelaskan hakikat penciptaan manusia, ayat ini juga menjelaskan hakikat mengajar iaitu bagaimana Allah mengajar manusia dengan pena, kerana pena selama-lamanya merupakan alat mengajar yang paling luas dan paling mendalam kesannya dalam kehidupan manusia. Pada masa turunnya ayat itu, hakikat peranan pena belum lagi jelas seperti yang kita ketahui dalam kehidupan manusia sekarang ini. Tetapi Allah S.W.T amat mengetahui nilai pena, kerana itulah Allah menyebutkannya pada detik pertama kemunculan agama Islam dan pada surah pertama.
Kemudian ayat ini menjelaskan sumber pengajaran iaitu sumbernya ialah Allah. Dari Allah, manusia mengambil ilmu pengetahuan yang telah dan sedang diketahuinya. Dari Allah, manusia mengetahui segala rahsia alam yang yang dibuka kepadanya, mengetahui segala rahsia kehidupan, dan rahsia-rahsia dirinya sendiri. Segala-galanya datang dari satu sumber dan di sana tiada sumber yang lain selain ALLAH…. (Tafsir fi Zilalil Quran)
Begitulah…. Segala ilmu yang ada di dunia ini, tidak kira ilmu apa pun, semuanya datang dari Allah. Allah itu lebih mengetahui. Ilmu sains, ekonomi, pengurusan, kejuruteraan, menjahit, memasak, menukang, dan apa saja ilmu yang bermanfaat itu, sumbernya adalah Allah.. Allah lah yang mengilhamkan akal dan hati dan daripada akal dan hati itu manusia temukan ilmu.

……WALLAHUALAM…..

Comments

Popular posts from this blog

tiada kata untuk aku ungkapkan sebagai judul

Network Definition

kasih buat Adam