insan dikasihi Tuhan peka terhadap dosa dan maksiat
MENGAPA seorang suami begitu sayang kepada isteri dan sebaliknya? Mengapa pula anak-anak yang salih rela menanggung susah menjaga kedua ibu bapa? Mengapa kita mahu berkorban untuk mengikat tali persaudaraan dengan jiran tetangga, saudara mara dan sahabat seperjuangan? Mengapa dunia ini aman dan damai, walaupun berbilang bangsa dan kaum, adat dan kepercayaan manusia? Jawabnya hanya satu iaitu kerana rahmat Allah SWT diturunkan ke atas dunia ini. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Allah Taala memiliki seratus rahmat. Satu di antaranya diturunkan untuk sekalian makhluk hingga mereka berkasih-kasihan sesama mereka. Sembilan puluh sembilan lagi disimpan untuk hari kiamat.” (Riwayat Muslim) Jika kita kehilangan rasa ingin mencintai, sesungguhnya rahmat Allah SWT itu tercabut dari hati. Isteri yang membenci suaminya atau sebaliknya, anak yang derhaka kepada kedua orang tua, orang yang bengis dan kasar, angkuh lagi sombong, zalim kepada sesama manusia, mereka ini terkeluar daripada senarai...