Dua Cerita: Dua mesej dalam kehidupan

SEORANG BAPA YANG PUNYA 4 ANAK

Seorang bapa pulang kepenatan daripada kerja. Dipanggilnya anaknya yang sulung.

“Kak Long, ambilkan air untuk ayah.” Lalu datanglah anak sulungnya itu membawa segelas air untuk ayahnya namun wajahnya tidak ceria. Lalu dia berkata “Ayah ni selalu saja suruh Kak Long. Mentang-mentanglah Kak Long anak sulung”.

Esoknya si ayah tidak lagi memanggil anaknya yang sulung. Sebaliknya memanggil anaknya yang kedua pula untuk membawakan air untuknya. “Kak Ngah, ambilkan air untuk ayah”. Anak keduanya datang membawa air dengan senyuman sambil berkata “Kak Ngah dah bawa air untuk ayah jadi ayah kenalah upah Kak Ngah. Satu gelas satu ringgit.”

Keesokannya si ayah memanggil anaknya yang ketiga pula. Dengan suara yang lantang ayahnya memanggil anaknya yang ketiga “Kak Chik, bawakan air untuk ayah. Ayah dahaga ni.” Lalu datanglah anaknya yang ketiga membawa air sambil wajahnya ditundukkan. Dia diam tidak berkata apa. Selesai meletakkan air di sisi ayahnya dia berlalu pergi. Wajahnya takut sekali.

Pada hari esoknya pula si ayah pulang dari kerja dalam kepenatan. Belum sempat dia berkata apa sudah datang anaknya yang bongsu, iaitu Adik Su membawakan air untuknya dengan penuh senyuman menyambut kepulangan ayahnya. Dia kemudian berkata “Ayah dah pulang? Jemputlah minum air ni. Mesti ayah dah penat.” Tidak cukup dengan itu dia memicit-micit bahu ayahnya yang sememangnya kelenguhan. Dia tahu ayahnya sudah bersusah payah keluar mencari rezeki untuk mereka sekeluarga. Begitulah caranya dia menghargai segala jasa ayahnya yang tersayang. Ayahnya bahagia dengan layanan anak bongsunya yang nyata penuh tulus dan ikhlas.

Suatu hari si ayah mahu ke kota untuk urusan tugas. Semasa di kota dia bercadang untuk membeli sesuatu buat anak-anaknya di rumah. Wajah pertama yang muncul di mindanya adalah wajah Adik Su berbanding anak-anaknya yang lain. Sentiasa diingatnya anaknya yang seorang itu dan berusaha mencari hadiah yang paling istimewa buat anaknya yang paling istimewa.

Cik seri ingin menganalogikan cerita ini dalam kehidupan kita sebagai seorang hamba Allah. Suai-suaikanlah analogi tersebut dengan empat dasar di bawah. Selamat merenung =)

Lazimnya seorang muslim itu melaksanakan perintah Allah atas 4 dasar.

1. Kerana kewajipan sebagai umat Islam

2. Kerana inginkan ganjaran

3. Kerana takut

4. Kerana cinta dan sayang kepada Allah.

Lalu kita bertapak di dasar yang mana?

SUAMI YANG PUNYA 4 ISTERI

Cik seri ingin berkongsi suatu cerita. Sebenarnya ianya juga adalah cerita sebuah analogi kepada hayat kita seperti juga cerita di atas. Mungkin ada yang pernah mendengarnya. Mungkin ada sedikit beza dengan versi asal cik seri mohon maaf. Namun mesejnya Insyaallah akan sampai.

Kisah seorang lelaki yang mempunyai 4 orang isteri. Isteri pertamanya seusia dengan lelaki tersebut. Isteri pertama sering diabaikan. Tidak cantik dan tidak terurus. Dia tidak mempedulikan isterinya yang tua ini. Isteri keduanya pula lebih muda sedikit daripada lelaki dan isteri pertama lelaki tersebut. Isteri kedua lebih disayangi berbanding isteri pertama. Isteri ketiga lebih muda daripada isteri kedua dan lebih disayangi berbanding isteri kedua. Si lelaki tadi lebih berbangga dengan isteri ketiganya. Isteri keempat pula adalah isterinya yang paling disayangi berbanding tiga yang lain. Isteri yang keempat adalah isteri paling muda. Si lelaki begitu menyayangi isteri keempat dengan menuruti segala kehendak isteri terakhirnya itu. Dibawanya ke sana ke mari.

Namun usia si lelaki ini tidak panjang. Dia akan meninggal tidak lama lagi. Dia begitu takut untuk mati. Dihajatnya ingin membawa isterinya menemaninya. Lalu ditanyakan kepada isterinya yang keempat iaitu isteri yang paling dia sayang sama ada isterinya sanggup menemaninya di kubur. Lalu isteri keempat berkata “Maaflah abang. Saya tak nak ikut. Kalau nak mati, matilah seorang. Abang boleh mati tapi semua harta abang tinggalkan untuk saya”.

Lalu ditanyakan pula kepada isterinya yang ketiga. Isteri yang ketiganya juga bereaksi sama.

Isteri yang kedua pula berkata “kalau nak saya temankan, boleh tapi setakat ke kuburan sahajalah. Saya tak boleh ikut abang mati”.

Lalu isterinya yang tua berkata “tidak mengapalah abang. Biarlah saya saja yang menemani abang. Si isteri yang kurus kering, tidak terurus itu sedia menawarkan dirinya untuk menemani suaminya yang selama ini mengabaikannya. Tidak mempedulikannya. Tidak memberinya makan dan minum. Namun isteri yang diabaikannya itulah yang bakal menjadi penemannya di kubur.

Begitulah kisahnya. Kenalkah kita siapa lelaki itu? Itulah peribaratan diri kita sebagai manusia sebenarnya. Sememangnya keempat-empat isteri itu adalah perumpamaan kepada apa yang kita miliki. Isteri keempat adalah hawa nafsu kita. Isteri ketiga adalah harta benda kita manakala isteri kedua kita adalah kaum keluarga kita. Seterusnya isteri pertama adalah amal ibadat kita yang akan menyusuli kita ke akhirat. Lalu bagaimanakah kita mempersiapkan “isteri pertama” kita itu untuk menghadapi malam pertama di alam kubur?

Comments

Popular posts from this blog

tiada kata untuk aku ungkapkan sebagai judul

kasih buat Adam

Network Definition