Coretan Cik Seri Mei-Disember 2010

Assalamualaikum.. menjenguk kembali ke Laman Hati Cik Seri yang sudah kurang lebih 8 bulan cik seri tinggalkan. Cik seri sebenarnya jarang-jarang nak melayari internet kerana masih belum mampu untuk memakai jalur lebar. Almaklumlah cik seri selama ini menjadi penganggur yang terhormat dan disegani. Sebenarnya cik seri yang terasa begitu segan dengan orang ramai kerana menyandang status penganggur. Kalau boleh nak mengelak aje daripada bertemu dengan orang kerana takut disoal dengan soalan mengenai pekerjaan. Malulah.. Lama juga ya cik seri menganggur. Cik seri bukannya tak nak kerja tapi ada saja halangannya termasuklah halangan dari dalam diri cik seri sendiri. Halangan yang dicipta oleh cik seri sendiri. Ini disebabkan cik seri ni punyai banyak kelemahan dan cik seri mengakui kelemahan itu. Cik seri menyalahkan cik seri sendiri dan cik seri sedar diri ini. Ok lah… tak nak melalut dah. Pada kesempatan ini cik seri nak mencoretkan peristiwa-peristiwa yang telah cik seri lalui selama 8 bulan ini untuk tatapan para pembaca (kalau ada la). Kalau tak ada orang baca pun, cukuplah sekadar untuk tatapan cik seri pada masa akan datang. Sebagai ingatan dan kenangan.

KERJA KILANG VS AMBIL LESEN MOTOSIKAL

Sejurus tamat praktikal pada bulan 4, cik seri berehat selama 3 minggu di rumah. Sebenarnya cik seri nak sertai program GEMS di Kuantan tapi tak layak pula. Selepas itu pada 10.5 cik seri kerja kilang Sharp di Sg.Petani sebagai operator pengeluaran kontrak. Dalam pada masa yang sama cik seri belajar menunggang motosikal dan mengambil lesen motosikal. Cik seri kerja kilang tu tak lama sebab cik seri kononnnya tak larat kerja berdiri. Padahal bukanlah itu sebab utamanya. Sebab utamanya adalah kerana cik seri tertekan kerja di situ sebab tiada kawan. Cik seri ambil keputusan untuk berhenti. Cik seri berhenti pada 9.6. sebulan aje cik seri kerja kat situ. Sempat dapat RM400 je. Pada 6.7 cik seri berjaya lulus ujian motosikal. Alhamdulillah berjaya juga cik seri. Sebelum ni cik seri tak pandai pun bawak motosikal. Kira ok la kan… Lepas berhenti kerja tu cik seri duduk di rumah saja la. Asyik beli surat khabar tengok kerja kosong tapi tak mohon pun. Asyik berangan aje.


BULAN PUASA DAN MENGASUH BUDAK

Lepas tu kan bulan puasa. Seminggu puasa cik seri pergi ke rumah pakteh cik seri di Shah Alam. Cik Seri ke sana untuk menolong mengasuh anak pakteh iaitu Nur Kamaliah Alyssa yang berusia 1 tahun kerana ibunya baru melahirkan adiknya Muhammad Akmal Rasyid pada 13.8. cik seri kat situ sekejap aje. Masa raya puasa cik seri pun pulang ke kampung dan tidak ke sana semula selepas itu. Berehat lagi cik seri di rumah.


CORETAN DUKA ….SEBUAH PEMERGIAN YANG ABADI…….

Sebulan lepas raya puasa, Tokwan cik seri iaitu bapa emak cik seri tenat. Pada 10.10 tokwan tidak sedarkan diri. Setelah 3 hari tokwan masih tak sedarkan diri. Setelah itu baru tokwan dibawa ke hospital. Keluarga tidak membawa tokwan ke hospital lebih awal kerana sebelum ini tokwan pesan tak mahu dibawa ke hospital. Namun kerana sudah 3 hari tak sedarkan diri, keluarga mengambil keputusan untuk membawa tok wan ke hospital. Pada tengahari 12.10 tokwan dibawa ke hospital. Doktor yang merawat menjelaskan bahawa tokwan menghidap “Massive Ischemic Stroke” iaitu strok peringkat kritikal. Tidak dapat diselamatkan lagi. Terkejut cik seri mendengarkan itu daripada bapa saudara cik seri yang turut sama berada di hospital. Itu bermakna kami semua mesti bersedia dengan sebuah pemergian abadi. Cik seri tak tahulah bagaimana perasaan cik seri pada ketika itu. Petang itu tok dan bapa saudara cik seri pulang ke rumah dan meminta cik seri yang menunggu tokwan di hospital. Cik seri pun tunggulah di hospital seorang diri. Mereka akan datang semula esok pagi. Cik seri menunggu di sisi tokwan. Melihat tokwan diselirati wayar-wayar. Pilu hati melihatkan keadaan itu. Badan tokwan begitu panas. Suhu badannya tinggi. Tokwan demam.. Malam itu cik seri hanya duduk di situ melihat tokwan. Melihat sahaja apa yang jururawat lakukan pada jasad tokwan. Doktor yang datang memeriksa menjelaskan bahawa bila-bila masa sahaja tokwan akan pergi. Sedihnya mendengarkan kenyataan itu. Namun tiada apa yang mampu dilakukan hanya berdoa. Pada malam itu cik seri hanya dapat tidur sebentar. pada pagi itu sekitar jam 2 pagi cik seri menyaksikan satu peristiwa sedih. Seorang pesakit lelaki dibawa masuk ke wad yang sama. Di hadapan katil tokwan. Kelihatannya agak kritikal. Isteri pesakit itu menangis teresak-esak. Suasana agak cemas pada waktu itu. Isterinya terus menangis. Cik seri sebenarnya ingin pergi kepada makcik itu dan menenangkannya namun cik seri tidak mampu. hingga kini cik seri menyesal kerana tidak berbuat demikian. Cik seri turut mengalirkan air mata kerana sedih dengan apa yang menimpanya. Dalam suasana cemas itu,tiba-tiba doktor memberitahu makcik itu bahawa suaminya sudah tiada, innalillahiwainnailaihiraajiun. Makcik itu menangis teresak-esak. Seorang wanita yang menjaga suaminya di sebelah cik seri pergi menenangkan dan menyabarkan makcik itu. Cik seri menangis. Kasihan dengan makcik itu. Tidak lama kemudian kelihatan keluarga makcik itu datang melihat jenazah. Anak-anaknya menangis melihat jenazah ayah mereka. Hati ini bertambah pilu. Anak-anaknya masih bersekolah dan yang bongsunya dalam lingkungan 7 tahun. Bagaimanalah selepas ini.. cik seri turut bersimpati. Setelah itu jenazah dibawa keluar wad. Sehingga subuh, cik seri hanya duduk termenung di dalam wad. Pagi itu cik seri diajak sarapan oleh makcik yang menjaga suaminya di sebelah katil tokwan. Cik seri hanya mengikut. Dalam sekitar jam 8 lebih para jururawat bertugas membersihkan para pesakit dalam wad. setelah itu cik seri duduk di sisi tokwan untuk membaca surah yaasin. Namun belum sempat habis, para doktor datang untuk memeriksa keadaan pesakit dalam wad. semua penjaga diminta keluar. Kami akur. Cik seri bersama makcik tadi dan seorang kakak keluar bersama menuju ke bilik menunggu di luar wad. semasa di bilik menunggu, tiba-tiba seorang jururawat datang memanggil cik seri. Hati cik seri begitu berdebar. Cik seri mengikutnya hingga ke katil tokwan. Di sekeliling katil tokwan dipenuhi para doktor. Doktor memberitahu bahawa tokwan sedang nazak. Pada waktu itu tokwan masih tidak sedarkan diri. Pada waktu itu hati cik seri begitu berdebar-debar. Doktor meminta cik seri menghubungi keluarga memberitahu keadaan tokwan yang nazak. Cik seri menelefon ibu yang pada ketika itu dalam perjalanan ke hospital. Sudah semakin hampir. Kemudian doktor meminta cik seri membisikkan syahadah di telinga tokwan. Ya Allah.. hanya Kau saja yang mengetahui perasaanku ketika itu. Laailahaillallah.. berulang kali cik seri membisikkan kalimah itu ke telinga tokwan mudah-mudahan tokwan dapat mengikutinya. Air mata mula mengalir. Cik seri terus mengucapkan kalimah suci itu hinggalah doktor menyatakan bahawa tokwan sudah tiada lagi. Innalillahiwainnailaihiraajiun.. Ya Allah..ampunilah segala dosa-dosa arwah tokwan. Tempatkannya bersama orang-orang beriman. Tiada apa lagi yang dapat dilakukan melainkan reda dengan segala yang terjadi. Tokwan pergi menyahut panggilan Ilahi pada 13 Oktober 2010 jam 9.30 pagi ketika usianya 70 tahun. Mak, tok, paklong dan maklong tak sempat tiba ketika saat-saat terakhir tokwan. Inilah kali pertama cik seri melalui saat-saat seperti ini. Menghadapi sebuah kematian. Jenazah tokwan disemadikan di tanah perkuburan di kampung. Al-Fatihah untuk arwah tokwanku..semoga rohnya dicucuri rahmat. Terima kasih tokwan atas segala curahan ilmu, kasih dan sayang walaupun aku bukanlah cucu yang terbaik yang tokwan pernah ada. Begitulah coretan duka untuk tahun 2010.

KONVOKESYEN VS BANJIR

Hidup perlu diteruskan. Dan begitulah cik seri meneruskan catatan ini. 31.10 Cik seri menghadiri majlis konvokesyen cik seri. Majlis cik seri adalah pada hari pertama konvokesyen, sesi kedua. Hari yang merupakan simbol kepada sebuah kejayaan para graduan setelah belajar selama beberapa tahun (cik seri 4 tahun). Mak dan abah tentu berasa gembira pada hari ini melihat anak menerima ijazah. Namun bagi cik seri, hari itu biasa-biasa saja. Kerana cik seri rasa cik seri belum berjaya lagi. Namun tidak mengapalah.. kita raikan saja hari ini. Dapat bertemu kembali dengan rakan-rakan seperjuangan cukup megujakan. Ada juga sedikit kegembiraan itu namun tidaklah gembira sangat-sangat. Sejuk..sesejuk di luar dewan Muadzam Shah yang kehujanan. Allahuakbar… hujan mengiringi majlis konvokesyenku ini. Kami tidak dapat bergambar sangat kerana hujan dan keadaan di sekeliling dewan sangat sesak dengan ramai orang yang masing-masing sibuk dengan hal masing-masing. Keadaan menjadi sangat kelam kabut. Terpisah habis dengan kawan-kawan disebabkan keadaan yang sesak dengan orang ramai. Cik seri akur. Sempat jugalah ambil gambar 2-3 keping. Keluarga pun sudah menunggu untuk pulang. Hari pun dah hampir malam. Selepas maghrib kami pun bertolak pulang. Takut nanti terlewat pula sampai ke rumah. Jubah konvokesyen pun cik seri tangguhkan penyerahan kerana takut terlewat, nanti kasihan pula keluarga menunggu lama. Tak apalah lain kali cik seri datang semula. Cadangnya nak datang pada hari ketiga konvokesyen kerana nak jumpa sekali bekas rakan sebilik yang majlisnya pada hari ketiga. Namun tak kesampaian kerana Kedah dilanda banjir. Allahuakbar. Graduan-graduan yang sepatutnya berkonvokesyen pada hari ketiga tidak dapat meraikannya pada hari tersebut kerana majlis ditangguhkan akibat banjir. Kasihan mereka semua. Namun kita terpaksa menerimanya dengan reda. Mungkin ini ujian dari Allah. Cik Seri bersyukur kerana cik seri sempat melangsungkan majlis tersebut. Alhamdulillah. Kepada kawan-kawan yang tak sempat, sabarlah dengan apa yang berlaku. Mungkin ada hikmahnya. Banjir di Kedah berlarutan hampir 2 minggu. Syukurlah tempat cik seri tidak banjir, Alhamdulillah.


URUSAN BUMI ENTERPRISE

Selepas konvokesyen cik seri masih duduk di rumah seperti selalu. Sehinggalah selepas raya haji. Seminggu selepas raya haji, 21.11 cik seri kembali ke Shah Alam, rumah pakteh yang pernah cik seri kunjungi pada bulan puasa yang lalu. Cik seri pergi dengan seorang sepupu cik seri yang berusia 15 tahun. Kali ini dengan misi yang berbeza namun serampang dua mata. Pakteh meminta bantuan cik seri untuk menjalankan perniagaan syarikatnya iaitu “Urusan Bumi Enterprise” sebagai “eksekutif jualan” kononnya. Wah..wah..ada syarikat lagi. Betul ni… dia betul-betul daftar syarikat ini dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Perniagaan yang dijalankan antaranya adalah menjual minuman. Kali ini baru nak bermula kecil-kecilan. Cik Seri menjadi penjaja air tebu di tepi jalan. Ini merupakan pengalaman baru. Tak boleh malu-malu dah. Kena berani. Belajar bercakap. Komunikasi yang berkesan walaupun tak banyak sangat komunikasi yang berlaku semasa transaksi perniagaan. Tapi bolehlah kan…sikit-sikit. Antara kerja lain selain menjaja air tebu, cik seri juga perlu mengikis tebu-tebu terlebih dahulu. Tangan yang dulunya lembut menjadi kasarlah sedikit kerana selalu pegang tebu-tebu ni. Tapi tak mengapalah. Bukannya teruk pun. Perniagaan berjalan agak baik. Kami keluar berniaga dalam pukul 11 pagi biasanya. Berniaga air tebu aje lah dulu. Berniaga ni, kalau hari panas larislah jualan. Kalau hujan memang perlahanlah. Kadang kalau mendung memang kami tak pergi berniaga. Kerana dah tahu jualan takkan laris kerana kami hanya menjual satu produk sahaja. Lainlah kalau ada jual produk yang tak lekang dek panas dan tak lapuk dek hujan. Purata pendapatan sehari adalah sekitar RM 90. Kalau hari hujan tak banyak la pendapatannya.



LELAKI ITU

Semasa tinggal di rumah pakteh ni juga cik seri menghidap penyakit. Nak tahu apa penyakitnya? Penyakit yang dipanggil angau. Masyaallah teruk betul lah. Tapi memang itulah hakikatnya. Cik seri terkena panahan angau daripada seorang lelaki yang tinggal dekat rumah pakteh cik seri tu. Subhanallah segaknya dia. Adakalanya dengan adanya dia menjadikan cik seri agak bersemangat untuk bekerja. Astaghfirullahalazim.. lemahnya jiwa ini dengan hadirnya nafsu terhadap lelaki ini. Membuahkan ketidakikhlasan dalam sesetengah tindakan. Namun cik seri tak adalah bertegur pun dengan lelaki itu. Cik seri juga menahan pandangan terhadapnya. Cuma yang menjadi-jadinya, cik seri selalu je tengok kat rumah dia, tengok sama ada dia ada atau tak ada dengan memerhatikan sama ada keretanya atau motosikalnya ada atau tidak. Dia biasanya pergi kerja pagi dan balik malam, jadi cik seri tak adala selalu bertembung dengan dia. Pada hari cuti pula, dia selalu keluar. Cik seri rasa dia keluar “dating”. Takkanlah orang sekacak dia tak ada teman kan. Cik seri terus memendam rasa. Namun dalam jiwa ini sebenarnya berperang untuk melupakannya. Cik seri tidak mahu jiwa ini dihuni oleh perasaan itu. Perasaan yang sebegini mengganggu jiwa sebenarnya. Kita sering teringatkan dia sehingga melupakan kita kepada perkara yang lebih utama iaitu mengingati Allah S.w.t. Dalam hati cuba menolak perasaan namun adakalanya tewas.


TAHUN BARU HIJRAH

Semasa masuknya tahun baru hijrah 1432, cik seri masih di rumah pakteh. Cik seri menanam azam untuk menguburkan perasaan terhadap lelaki itu. Mungkin sedikit berjaya. Tak adalah angau sangat. Alhamdulillah..terkawal. Di samping itu banyak lagi azam baru yang cik seri tanamkan dalam diri. Antara yang utama adalah untuk meningkatkan ketaqwaan. Semoga cik seri berjaya merealisasikan segala yang cik seri azamkan insyaallah.

PULANG KE KEDAH

Perniagaan hanya sempat berjalan selama 18 hari sahaja. Minggu terakhir cik seri di sana kami langsung tak berniaga kerana cuaca yang tidak berapa baik. Pada 26.12 cik seri pulang ke kampung halaman kerana sepupu yang datang sekali tu pun dah nak masuk sekolah lagi seminggu. Nampaknya perniagaan UrusanBumi Enterprise tergendala kerana tiada sumber manusia yang akan menguruskannya buat sementara waktu ini. Bagaimana seterusnya terserahlah kepada Tuan Pengurus. Lagipun buat masa sekarang dia sedang sibuk menanam benih baru di kebun untuk persediaan bulan puasa nanti. Pada bulan puasa pasti banyak tebu yang diperlukan untuk diproses menjadi jus bagi jualan buka puasa. Insyaallah. Perlu usahakan sekarang sementara nak tunggu hasil pada sekitar bulan Jun-Julai nanti.

DETIK INI

Akhir kalam… catatan cik seri sampai ke waktu ini. Cik seri masih tidak bekerja tetap lagi. Cik seri ada lah juga memohon kerja yang cik seri minat. Cik seri giat mencari kerja. Azam cik seri, cik seri mesti kerja juga dalam Januari 2011 tak kisahlah kerja apa hatta kerja kilang sekalipun. Yang penting cik seri dapat duit untuk membayar hutang PTPTN yang masih tinggi. Baru ni je cik seri baru je jelaskan tunggakan bagi tahun 2010. Alahai… susahnya begini. Cik seri rasa malu sangat pada mak abah. Tapi insyaallah cik seri akan dapat kerja secepat mungkin. Oh ya… SELAMAT TAHUN BARU 2011. Semoga tahun baru ni kita dapat memperbaiki segala kelemahan dan meningkatkan kualiti dalam setiap aspek terutama kualiti hati. Amiin.. insyaallah.

Cik seri ingin meninggalkan catatan kali ini dengan untaian kata yang berupa lirik lagu nasyid oleh Maher Zain yang berjudul “ Open Your Eyes” (Bukalah matamu) sebagai renungan…

Look around yourselves

Can¡¯t you see this wonder

Spreaded in front of you

The clouds floating by

The skies are clear and blue

Planets in the orbits

The moon and the sun

Such perfect harmony

Let¡¯s start question in our selves

Isn¡¯t this proof enough for us

Or are we so blind

To push it all aside..

No..

We just have to

Open our eyes, our hearts, and minds

If we just look bright to see the signs

We can¡¯t keep hiding from the truth

Let it take us by surprise

Take us in the best way

(Allah..)

Guide us every single day..

(Allah..)

Keep us close to You

Until the end of time..

Look inside yourselves

Such a perfect order

Hiding in yourselves

Running in your veins

What about anger love and pain

And all the things you¡¯re feeling

Can you touch them with your hand?

So are they really there.

When a baby¡¯s born

So helpless and weak

And you¡¯re watching him growing..

So why deny

What’s in front of your eyes

The biggest miracle of life..

We just have to

Open our eyes, our hearts, and minds

If we just look quiet we¡¯ll see the signs

We can¡¯t keep hiding from the truth

Let it take us by surprise

Take us in the best way

(Allah..)

Guide us every single day..

(Allah..)

Keep us close to You

Until the end of time..

Allah..

You created everything

We belong to You

Ya Robb we raise our hands

Forever we thank You..

Alhamdulillah..

Comments

Popular posts from this blog

tiada kata untuk aku ungkapkan sebagai judul

kasih buat Adam

Network Definition