ke mana arahku??



Bulan hadapan aku akan mula menjalankan latihan praktikal aku selama 4 bulan. Takut juga sebenarnya. Memang takut. Memang menakutkan dan menggerunkan untuk orang seperti aku. Yang selama ini jarang bersosial. Pasti banyak kejutan yang menanti aku di luar sana. Ya Allah, kuatkanlah aku.

Tidak lama lagi juga, aku bakal meninggalkan alam pengajianku ini. Aku akan meninggalkan kampusku ini. Aku bukan lagi pelajar di sini. Sungguh, pasti aku akan merindui semua ini. Aku masih terasa seakan-akan baru sahaja aku manapakkan kaki di bumi Sintok ini. Rupanya sudah lebih 3 tahun aku di sini. Aku begitu tidak menyedarinya. Mungkin disebabkan kerutinanku yang sama semester demi semester. Sejujurnya, aku mengatakan bahawa aku ini seorang yang pasif semasa di alam universiti. Aku tidak menyertai apa-apa persatuan melainkan yang wajib. Memang aku begini. Apakah aku salah kerana tidak berbuat sedemikian? Biarlah apa orang nak cakap. Ku akui itu kelemahanku. Aku tahu semua pengalaman itu sebenarnya sangat berharga sebagai bekalan untuk memasuki alam kerjaya. Namun aku tidak memilikinya. Tapi itu bukanlah penentu yang mutlak. Mungkin aku ini umpama air dalam botol yang belum dibuka penutupnya. Mungkin singa dari dalam diriku belum lagi menampakkan diri sungguhpun sudah 23 tahun aku berada di alam fana ini.

Aku sebenarnya kurang pasti dengan masa hadapanku. Mungkin ada yang mahu mendakwa bahawa aku ini tiada matlamat, dipersilakan mengkritik. Aku akui. Aku menyedari akan peri pentingnya kejelasan matlamat. Tapi aku seakan-akan masih menerawang di alam lamunanku. Aku punya cita yang bercabang-cabang. Aku tidak pasti. Aku banyak buat keputusan sendiri. Keputusanku banyak didorong oleh intuisiku.
Mungkin ada keputusan yang aku buat itu salah. Tapi apa boleh buat kerana semuanya sudah berlalu. Namun aku tidak mahu menyerah. Sekarang ini bukan soalnya membuat keputusan yang betul atau salah akan tetapi soalnya sekarang adalah menjadikan keputusanku itu betul. Aku terima segala yang ditakdirkan untukku kerana sudah tertulis di Lauh Mahfuz begitu. Dia lebih mengetahui segalanya. Aku mesti memanipulasi pembolehubah-pembolehubah yang ada dalam eksperimen hidupku ini agar mendapat hasil yang optimum.

Semalam, aku berjumpa dengan seorang pensyarah. Beliau ada mencadangkan supaya aku menjadi pensyarah. Apa benarkah ini?? Adakah beliau melihat potensi pada diriku? Aku tidak tahu persepsinya mengenai aku. Namun beliau kata aku harus lantangkan suara. Lebih nampakkan keyakinan diri. Ya, mungkin ini satu dorongan yang positif buatku. Sememangnya aku juga pernah terdetik keinginan untuk menjadi seorang pensyarah. Semenjak di bangku sekolah lagi sebenarnya. Namun keinginan itu terabai seketika. Kini ia tumbuh kembali kesan daripada siraman dorongan daripada orang sekeliling. Insyaallah aku akan cuba untuk menggapainya. Seandainya inilah takdirku, Kau bantulah aku Ya Allah.



imaazmira-Link

Comments

kapten said…
xper cik siti...jadi lecture pun ok jugak.....banyak ilmu....

Popular posts from this blog

tiada kata untuk aku ungkapkan sebagai judul

kasih buat Adam

Network Definition