ADAKAH AKU MENCINTAINYA??KAMU??


Alhamdulillah..aku bersyukur kerana dapat menjadi salah seorang daripada umat Rasulullah Sallahualaihiwasaalam. Aku sangat bangga dengan anugerah ini. Aku sanggup untuk mempertaruhkan nyawaku untuk anugerah ini.
Tika aku menulis coretan ini, aku sedang mendengarkan alunan bait-bait lirik nasyid bertajuk “Pemergianmu”. Dendangan In-Team. Nasyid inilah yang sebenarnya menjadi salah satu pencetus kemaraan cintaku terhadap baginda Rasulullah Sallahualaihiwasaalam. Semuanya berlaku pada tahun 2008. Pada masa itu, tahap kecintaanku kepada baginda hanya biasa-biasa sahaja. Boleh aku katakan yang aku belum cinta kerana aku belum kenal baginda. Sekadar hanya tahu yang baginda Rasulullah Sallahualaihiwasaalam adalah utusan Allah kepada umat manusia. Yang bertanggungjawab menyebarkan agama Islam di alam ini. Sirahnya aku hanya tahu sedikit-sedikit. Boleh kata semuanya di tahap biasa-biasa saja. Kalau hari sambutan Maulidur Rasul pun, tidaklah mendatangkan maknanya yang besar kepada aku.
Sekitar tahun 2008, aku ada mendapat emel yang menceritakan tentang ciri-ciri fizikal Rasulullah Sallahualaihiwasaalam dan juga kisah saat-saat sakaratul maut baginda. Sebenarnya kandungan emel itu juga menjadi salah satu pencetus kemaraan cintaku kepada baginda. Sesiapa yang membacanya akan tersentuh. Semenjak itu sudah terbit bait-bait cinta yang mendalam. Kemudian, tibalah hari sambutan Maulidur Rasul tahun 1427 Hijrah. Dan apabila tibanya hari yang bersejarah ini, maka sudah pastilah akan banyak pengisian yang bakal didapati dalam majlis-majlis ilmu. Semasa kelas Kerohanian yang aku sertai, Ustaz menjadikan topik kehebatan Rasulullah Sallahualaihiwasallam sebagai pengisian pada hari itu bersempena dengan Maulidur Rasul. Semasa hari sambutan, pihak masjid di kolej kediamanku mengadakan ceramah Maulidur Rasul. Siang dan malam. Aku mewajibkan diri untuk hadir dalam majlis tersebut untuk menyemarakkan lagi cinta kepada insan berjasa besar ini. Bahagianya aku mendengarkan kisah-kisah Rasulullah Sallahualaihiwasallam. Cinta yang semakin mendalam. Dalam beberapa hari selepas sambutan itu, aku menjadi semakin sensitif terhadap Rasulullah Sallahualaihiwasallam. Aku kerap mendengarkan nasyid “Pemergianmu” dan sambil menangis aku mengenang baginda. Syahdunya saat itu. Alhamdulillah syukur kepada Allah kerana membangkitkan rasa cinta ini kepada baginda. Dari saat itu aku cuba untuk menjadi umat baginda yang terbaik.
Namun hingga kini aku masih lagi dalam kalangan yang mencuba. Aku kesal kerana perasaan cinta itu masih belum sejati kerana aku masih tidak dapat menjadikan baginda contoh 100% dalam kehidupanku. Aku masih lagi jahat dalam hidup ini. Jahat kerana aku lalai daripada mengikuti Sunnahnya. Jahat kerana masih mengabaikan Selawat ke atasnya.
Aku sangat berharap aku akan bertemu dengan baginda di hari akhirat nanti. Aku mahu menjadi sebahagian daripada mereka yang mendapat syafaat baginda.
Percayalah.. tak indah hidup ini andainya dalam dirimu tiada cinta kepada baginda. Baginda mencintai kita walaupun kita jauh dari baginda. Baginda mengingati kita saat kita belum wujud. Saat sakaratulmaut juga baginda masih mengingati kita. Masyaallah. Tidak akan ada manusia yang semulia baginda. Hanya baginda insan yang paling layak untuk kita cintai. Aku sanggup mengorbankan segala cinta yang aku ada di dunia ini demi mendapatkan cinta agung itu. Ya hanya padanya tempat mencurahkan segala cinta. Darjat cinta agung antara manusia dengan manusia. Allah juga mencintai baginda.
Cinta terhadap baginda menjadikan aku kuat. Aku tahu dan yakin Rasulullah Sallahualaihiwasallam akan menyayangiku selama mana aku menjadikan ajaran baginda sebagai ikutan. Ikutlah baginda, nescaya kita akan selamat. Dunia ini sebenarnya dah tak selamat. Aku mahu bersama baginda dalam syurga nanti.
Ya Rasulullah…aku amat merinduimu…dan akan selamanya begitu… moga aku akan bersamamu di sana nanti….

Comments

Popular posts from this blog

tiada kata untuk aku ungkapkan sebagai judul

Network Definition

kasih buat Adam